
KRUBONG – Seorang pengawal keselamatan menemui ajal di bawah tayar sebuah lori selepas terseret sejauh kira-kira 30 meter apabila motosikal ditunggangnya bertembung kenderaan berat berkenaan di Jalan Krubong-Tampoi, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa, A Rajah, 43, yang dalam perjalanan balik ke rumah di Taman Krubong Jaya, maut di tempat kejadian berhampiran Kawasan Perindustrian Krubong.
Motosikal mangsa terperosok sebelum terseret dalam keadaan menelangkup di bawah lori muatan pasir.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Star Evo dipercayai menyusur laluan bertentangan untuk cuba masuk ke laluan menghala ke Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA), bagaimanapun bertembung lori seberat 10 tan dipandu lelaki berusia 54 tahun, sebelum sempat menyeberangi jalan.
Anak saudara mangsa, N Ganesan, 25, berkata, bapa saudaranya itu baru enam bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan dan biasanya bertugas dari jam 7 malam hingga 7 pagi, kecuali jika tidak cukup pekerja akan melakukan kerja lebih masa.
Menurutnya, Rajah yang tinggal bersama keluarganya di Taman Krubong Jaya sejak enam bulan lalu baru seminggu membeli motosikal berkenaan untuk memudahkannya berulang alik dari kerja.
“Sebelum ini dia menggunakan motosikal ibu saya untuk ke tempat kerja. Dia mempunyai seorang isteri dan tujuh anak berusia dua hingga 17 tahun yang menetap di Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Noh Che Pa berkata, mangsa yang parah di anggota badan maut di tempat kejadian.
“Mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.,” katanya.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Hairulnizam Ridhuan berkata, pihaknya turut membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
“Dua jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi. Bagaimanapun, sebaik tiba, mangsa didapati terperosok bawah tayar sebelum kita mendapat arahan daripada polis untuk membantu menarik lori berkenaan menggunakan jentera bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya. – Sinar Harian
0 komentar:
Posting Komentar