
SHAH ALAM – Polis mengesahkan pemilik cicak tokek yang ditahan bersama 11 lagi suspek bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam sebuah kereta hampir tenggelam di lombong kawasan Bestari Jaya, Kuala Selangor, baru-baru ini memiliki 16 rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, hasil soal siasat awal menunjukkan suspek wanita berusia 60 tahun itu mempunyai 16 rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Kita dapati kesemua kes ini dilakukan suspek di sekitar negeri Pahang dan Perak.
“Reman terhadapnya sudah dipohon dari mahkamah hari ini (semalam) untuk kita jalankan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media, semalam.
Beliau berkata, siasatan dijalankan menjurus pelbagai aspek termasuk pembabitan suspek wanita itu dengan kes jenayah lain.
Ketika ditanya berhubung cicak tokek yang dilaporkan hilang, Mohd Shukri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan haiwan itu sudah dijual kepada pihak ketiga.
Pada 1 September lalu sehingga kelmarin, seramai 16 individu ditahan di sekitar Selangor dan hilir Perak, sebelum empat daripada mereka dibebaskan kerana disyaki tiada kaitan dengan kes pembunuhan terbabit.
Kelmarin, Mohd Shukri mengesahkan 12 suspek yang masih ditahan merupakan seorang pemilik cicak tokek, manakala yang selebihnya adalah individu yang diupah untuk menjejaki mangsa yang melarikan diri bersama haiwan terbabit.
Sebelum ini, mangsa, Syairul Helmy Azhar, 24, yang diamanahkan untuk menjaga cicak tokek serta mencari pembeli haiwan itu, ditemui mati dengan kesan tembakan di rusuk sebelum mayatnya diletakkan dalam kereta dan dibuang di lombong terbabit. – Sinar
0 komentar:
Posting Komentar